Tuesday 28 August 2012


Ayat Motivasi dan Mutiara Kata

  1. Semiskin-miskin orang ialah orang yang kekurangan adab dan budi pekerti – Hukama
  2. Jika anda mahu membuat sesuatu, anda akan cari jalan. Jika anda tidak mahu membuat sesuatu, anda akan cari alasan. – Peribahasa Arab
  3. Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ianya digunakan.
  4. Nilai hidup harus diukur dengan garis yang lebih mulia, iaitu kerja dan bukannya usia. – Richard Brinsley Sheridan
  5. Kamu dapat mengenal lebih banyak tentang diri seseorang itu dari adab dan pertanyaannya, bukan dari jawapan-jawapannya. – Voltaire
  6. Setiap orang dapat mencapai kejayaan dalam hal apa saja, asalkan ia sangat menyukai pekerjaan yang dilakukan.
  7. Lebih baik tidur dengan perut yang lapar daripada bangun tidur dengan banyak hutang.
  8. Jagalah dirimu baik-baik, usahakanlah kemuliaannya, kerana engkau dipandang manusia bukan kerana rupa tetapi kesempurnaan budi dan adab.
  9. Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang. – Samuel Johnson
  10. Seseorang yang jujur diterima ucapannya oleh musuh.
  11. Pengecut mati banyak kali sebelum kematiannya. Yang berani mati hanya sekali.
  12. Hidup biarlah berbakti, walaupun tidak dipuji…
  13. Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.
  14. Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.
  15. Jika keadilan ditegakkan, keberanian tidak diperlukan lagi.
  16. Barangsiapa menyebarluaskan berita-berita kekejian yang didengarnya, maka dia seperti pelakunya.
  17. Tidak ada manusia yang hidup untuk gagal, tetapi tidak merancang adalah merancang untuk gagal.
  18. Orang yang sibuk selalunya nampak bising, orang bekerja diam diam sahaja.
  19. Apabila engkau telah berazam, maka bertawakallah kepada Allah – Ali imran : 159
  20. Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal,tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah.

Monday 27 August 2012

Sanggupkah Kita?


Sekadar Berkongsi


Perkembangan Bahasa Melayu Abad 19 ~ 20
Oleh : Mohd. Juraini Ismail
Masnie@tm.net.com.my

1.0 Pendahuluan
Kewujudan sesuatu bangsa mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan asal-usul bahasa. Malah sesebuah tamadun atau kerajaan sesuatu bangsa tidak akan lengkap sekiranya bahasa tidak wujud. Oleh yang demikian kedua-duanya; bangsa dan bahasa , saling melengkapi antara satu sama lain.

Kerajaan dan Bahasa Melayu dikatakan telah wujud sejak abad
ke - 2 masehi lagi ( Mangantar Simanjuntak, 1995 ). Ini dibuktikan dengan penemuan sebuah Kerajaan Melayu Champa di Vietnam Tengah. Bahasa perantaraan yang digunakan oleh kerajaan ini ialah bahasa Melayu.

Peredaran zaman menyebabkan bahasa ini mengalami proses evolusi sehingga terhasilnya bahasa Melayu moden yang digunakan pada dekad ini. Proses evolusi tersebut di bahagikan kepada beberapa peringkat atau zaman, iaitu zaman bahasa Melayu Purba, zaman bahasa Melayu Kuno, zaman bahasa Melayu Klasik , zaman bahasa Melayu Peralihan atau Pramoden dan zaman bahasa Melayu Moden. ( Asmah Haji Omar, 1993 )

2.0   Bidang Kajian  
Dalam kertas kerja ini, saya hanya akan membincangkan perkembangan bahasa Melayu yang berlaku pada pertengahan abad 19 membawa kepada abad 20. Dalam era inilah berlakunya zaman perubahan bahasa Melayu Klasik kepada bahasa Melayu Moden yang boleh juga dinamakan zaman peralihan atau zaman transisi.

            Namun begitu, bagi memperjelaskan lagi pemahaman terhadap bentuk perubahan yang berlaku, kertas kerja ini akan turut menyentuh sepintas lalu mengenai bahasa Melayu Klasik dan bahasa Melayu Moden.



3.0   Bahasa Melayu Klasik

3.1 Definisi
Takrifan tentang Bahasa Melayu Klasik perlu dibuat terlebih dahulu sebelum kita memahaminya. Merujuk kepada perkataan klasik, Kamus Dewan ( !986 : 590 ) mentakrifkannya sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai; yang tinggi dan abadi nilainya atau lawan bagi perkataan moden.

Takrifan ini menjelaskan kepada kita bahawa bahasa Melayu Klasik diakui kepenggunaannya pada suatu masa dahulu. Namun, perubahan masa dan zaman menyebabkan bahasa ini tidak lagi menjadi wahana kepada para pengkaji sebagai bahan kajian dan penyelidikan tentang perkembangan dan pertumbuhannya.


3.2   Ruang Lingkup Bahasa Melayu Klasik
Bahasa Melayu Klasik bermula pada abad ke-14 hingga awal abad ke-19. Zaman permulaan  bahasa Melayu Klasik ditandai dengan penemuan prasasti di Ulu Berang Kuala Terengganu bertarikh 702 H  bersamaan  1303 Masehi. Selain penemuan prasasti tersebut terdapat juga prasasti bahasa Melayu Klasik terutamanya di negeri Kedah, Kelantan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Pengkalan Kempas. Ada juga prasasti yang ditemui di Sumatera, contohnya di Jambi, Riau, Sumatera Selatan, Acheh dan lain-lain lagi (Amat Juhari Moain. 1994).

Bukti-bukti kewujudan bahasa Melayu Klasik juga boleh ditemui dalam bentuk manuskrip. Pengkaji-pengkaji menganggap sebanyak 12,000 manuskrip di temui tetapi semuanya tersimpan di luar negara .
Manusrip yang tertua sekali ialah surat Sultan Ternate, Baluku kepada Raja Portugis bertarikh 1521 Masehi ( Ahmat Adam , 1992 ). Manakala  manuskrip bentuk buku yang paling tua yang ditemui setakat ini ialah kitab Aqa'id Al-Nasafi yang bertarikh pada 1590 M (998 H). Manuskrip lain yang ditemui  bagi membuktikan kewujudan bahasa Melayu Klasik ialah manuskrip Tutinameh (1600M), Hikayat Seri Rama (1633 M), surat Raja Acheh kepada Harry Middleton (1602M) dan surat Emas Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam, Acheh kepada Raja Inggeris, King Jame 1 (1615 M).
( Nik Safiah Abd. Karim. 1992. Bahasa Melayu Moden : Kemuncak Tradisi Melaka-Johor-Riau. Dlm S. Othman Kelantan (pngr.) 100 Tahun Pergerakan bahasa Dan sastera Melayu 1888 - 1988 : 38-53. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.)

Dalam kajian yang berhubung dengan perkembangan Bahasa Melayu, terdapat percanggahan pendapat antara para sarjana. Misalnya Prof. Dato' Asmah Haji Omar dalam bukunya Susur Galur Bahasa Melayu ( Kuala Lumpur . DBP : 1985) menjelaskan bahawa bahasa ini berkembang dari abad ke-13 hingga ke-17 masehi. Manakala Prof. Dato' Ismail Hussien melalui bukunya Tamadun Melayu Jilid Dua ( Kuala Lumpur. DBP : 1993 ) menyatakan bahasa Melayu berkembang dari abad ke-13 dan ke-14 masehi.

Namun begitu, apa yang perlu ditegaskan di sini , bermula abad ke-14 hingga ke abad 19 masehi Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perantaraan utama bagi masyarakat ketika itu. Malah ada di kalangan pengkaji menyamakan bahasa ini dengan bahasa Latin dan Perancis kerana penggunaannya begitu meluas iaitu sehingga dituturkan di India dan juga Eropah ( Abdul Samad Ahmad : 1966 )

3.2 Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik
Bahasa Melayu Klasik dikatakan terpisah dari bahasa Melayu Kuno apabila wujudnya tulisan jawi. ( Asmah haji Omar : 1993 ). Sebelum ini tulisan yang digunakan oleh masyarakat Melayu dalam Bahasa Melayu Kuno ialah tulisan "palava" ( Raminah Hj Sabran dan Rahim Syam : 1986). Kedatangan Islam membawa perubahan yang amat ketara ke atas masyarakat Melayu. Perubahan tersebut bukan sahaja dari aspek tauhid danakidah tetapi sistem tulisan masyarakat Melayu turut berubah,

Tulisan jawi berasal dari tulisan Arab. Pendakwah-pendakwah Islam berketurunan Arab pada mulanya menerapkan sistem tulisan Arab dalam tulisan Jawi. Tujuan utamanya ialah memudahkan bacaan, kerana tulisan jawi merupakan sesuatu yang baru bagi masyarakat Melayu. Bagi memudahkan ejaan, tanda baris atas dan bawah dimansuhkan.

           



Bahasa Melayu Klasik dikatakan banyak menerima fonem-fonem Arab. ( Abdullah Hassan : 1992 ) Contohnya 'kh', 'z' dan 'sy'. Penggunaan fonem-fonem ini begitu meluas terutama sekali dalam penghasilan karya sastera seperti kitab-kitab agama, cerita-cerita rakyat dan lain-lain lagi. Contoh perkataan yang menerima fonem arab adalah seperti berikut :
? Akhirat
? Syarat
? Zaman

Selain penggunaan dalam aspek tulisan dan fonem, Bahasa Melayu Klasik juga telah menyerapkan perkataan-perkataan Arab dalam bahasa Melayu. Keadaan ini menyebabkan kata-kata atau perbendaharan Melayu semakin bertambah. Pinjaman dari perkataan Arab juga disebabkan kurangnya perkataan Melayu dalam menterjemahkan sesuatu perkara. Antara contoh perkataan yang dipinjam dari perkataan Arab ialah
- Duniawi
- Jahaman
- Akhirat
- Mu'tabar
- Fakir
- Sultan
- Jumaat

Bahasa Melayu Klasik juga banyak menggunakan Kata Tunjuk, Kata Penegas dan Kata Hubung. Terdapat pengulangan dalam penggunaan perkataan tersebut. Kata tunjuk yang sering digunakan berulang ialah :
- Itu
- Sana
- Maka

Kata Hubung :
- Yang
- Dan
- atau

Kata Penegas :
- Lah
- Pun

Penterjemahan karya atau kitab-kitab Arab ke dalam Bahasa Melayu menyebabkan struktur atau sintaksis Arab menyerap ke dalam bahasa Melayu. Terjemahan kitab banyak menggunakan Frasa Sendi Arab. Antara Frasa Sendi yang dipinjam dari bahasa Arab ialah ;
daripadanya;  atas dengan;  dia dan lain-lain lagi.

Selain dari itu ayat-ayat dalam bahasa Melayu Klasik juga dikatakan meleret-leret, terutama sekali apabila menyatakan sesuatu perkara. Pengarang sesebuah buku sering memasukkan perkataan yang sukar difahami. Begitu juga dengan pengunaan ayat-ayat pasif yang begitu meluas terutama dalam hikayat-hikayat.

Dalam bahasa Melayu Klasik juga tedapat pendepanan pradikat  dalam ayat yang digunakan atau dengan kata lain berlaku penyongsanan ayat. Pendepanan predikat terdiri daripada predikat kata kerja, objek atau pelengkap.

Ini merupakan pengaruh nahu Arab dalam bahasa Melayu klasik, contohnya :
a) Berjalanlah baginda berhari-hari untuk mencari permaisuri yang telah melarikan diri
b) Maka kepala budak itu digondolkan oleh tukang gunting dengan sebilah beliung.
(Prof. Mohd. Taib Osman & Abu Hasaan Sham  (pngr.) 1978.  Warisan Prosa Klasik.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka ).

Selain dari itu, ciri-ciri yang dapat dikesan dalam bahasa Melayu klasik ialah adanya pengaruh Islam. Kedatangan Islam ke alam Melayu memberi impak yang begitu besar . Roh Islam bukan sahaja ada pada individu malah turut terdapat dalam istilah dan ungkapan bahasa.  Jika agama Hindu banyak mempengaruhi setiap aspek dan perbuatan orang Melayu pada suatu ketika, perkara sedemikian juga turut berlaku apabila wujudnya pengaruh Islam. Istilah dan ungkapan Islam telah diterima pakai oleh masyarakat Melayu sebagai perantaraan dalam komunikasi atau penghasilan sesuatu karya.

Tokoh-tokoh Islam seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Daud Abdullah al-Patani serta Raja Ali Riau banyak membantu dalam memperkembangkan istilah dan ungkapan bercirikan Islam. Karya-karya sastera Melayu Klasik banyak menggunakan watak-watak ciptaan dengan nama Islam, khususnya nama-nama raja. Misalnya Raja Nursyirwan Adil, Raja Abdul Jalil dan Sultan Muhammad Syah. Di samping itu terdapat juga nama campuran unsur Sanskrit, India dan Islam. Contohnya Merong Mahawangsa, Raja Donan dan Seri Rama

Salah satu dari ciri yang membezakan bahasa Melayu Klasik dengan moden ialah pengunaan kata-kata adapun, syahdan, hatta, setelah, arakian,al-kisah, bahawasanya, kelakian, sebermula dan sebagainya.

Dalam zaman bahasa Melayu klasik banyak berdiri kerajaan Melayu yang menggunakan bahasa Melayu Klasik sebagai bahasa pemerintahan seperti kerajaan Pasai-Samudera, Melaka, Johor-Lama, Johor-Pahang-Riau-Lingga, empayar Brunai yang menyebar luas di daerah Kalimantan Utara hingga ke Filipina Selatan; Patani, Ligor, Palembang, Jambi, Siak, Sri Inderapura, Langkat, Pahang, Perak dan lain-lain. Bahkan ada empayar atau kerajaan bukan Melayu tetapi menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan. Contohnya kerajaan Ache di Sumatera Utara.

Zaman bahasa Melayu klasik menempuh kemajuan yang amat pesat berbanding dengan zaman bahasa Melayu Kuno. Pada masa ini perkembangan ilmu pengetahuan dan kegiatan intelektual dalam bahasa Melayu mencapai tahap yang tinggi. Pada akhir abad yang ke-16 M, umpamanya, sudah lahir hasil-hasil karya falsafah tasawwuf dalam bahasa Melayu. Bahkan pada awal abad ke-17 M, berlaku pula polemik-polemik ilmiah tentang falsafah, tasawwuf dan ilmu-ilmu ugama yang lain khususnya seperti polimek yang dilakukan oleh Hamzah Fansuri, Syamsudin Pasai, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf Singkel. Kelahiran hasil-hasil karya bersifat intelektual ini berpunca daripada pengaruh Islam yang meresap ke dalam bahasa dan budaya Melayu. Keadaan ini tidak berlaku pada zaman Hindu.

Lantaran itulah maka bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama di Asia Tenggara untuk urusan pengembangan agama Islam bahkan ianya menjadi salah satu di antara enam bahasa dunia Islam iaitu selain Arab, Farsi, Turki, Inggeris dan Hindi. Oleh sebab itu juga orang-orang Kristian menggunakan bahasa Melayu dalam penyebaran agama Kristian di kawasan Asia Tenggara (Manggantar Simanjuntak : 1995)

4.0 Bahasa Melayu Zaman Peralihan ( Pramoden)
Setelah memahami dan menghalusi bahasa Melayu klasik, kini eloklah diteliti bahasa Melayu zaman peralihan yang menjadi inti kepada kertas kerja ini.

Bahasa Melayu zaman peralihan dikatakan bermula pada pertengahan abad 19 membawa kepada awal abad 20. Abad ke-19 adalah abad kebanjiran pendatang luar Asia Tenggara. Pada masa ini pelbagai bangsa terutama dari barat datang untuk menguasai Asia Tenggara. Orang-orang Belanda menguasai sebahagian besar kepulauan Melayu yang kemudian dikenali sebagai Indonesia. Inggeris pula menguasai negeri-negeri Melayu terutama di Semenanjung Tanah Melayu, Brunai, Sarawak dan Borneo Utara. Orang Perancis pula menguasai Indo-China, orang Portugis di Timor Timur, manakala orang Sepanyol dan kemudiannya Amerika menguasai Filipina.

Bangsa-bangsa Barat ini bukan sahaja menguasai perdagangan tetapi juga politik. Bagi meneguhkan penguasaan mereka, pihak penjajah telah mengkaji bahasa dan budaya peribumi, sehinga dengan itu timbul pusat-pusat pengajian tentang bahasa, sastera dan budaya peribumi, terutama Melayu di universiti-universiti di Barat, misalnya di Belanda dan Inggeris. Pada masa yang sama penjajah barat memperkenalkan beberapa teknologi moden seperti alat pencetak, kapal api dan lain-lain termasuk penerbitan akhbar, majalah dan jurnal serta percetakan buku-buku dan kitab-kitab (Ahmat Adam. 1992 ).

Bertitik-tolak dari sinilah perkataan-perkataan dari bahasa barat seperti Inggeris dan Belanda mula meresap ke dalam bahasa Melayu sediit demi sedikit. Akibat dari itu juga pusat kegiatan penulisan Melayu mula mengusur dari istana-istana ke dalam masyarakat umum. Ini menjadikan kegiatan penulisan mula bersifat kemasyarakatan dan kerakyatan.

Pada zaman ini juga terdapat banyak buku-buku Melayu tulin sempat dicetak. Misalnya buku Sejarah Melayu, Taj al-Salatin, Hikayat Abdullah dan lain-lain. Begitu juga dengan kitab-kitab agama yang terkenal  banyak dicetak pada zaman ini terutamanya di Asia Barat seperti di Istanbul dan Mesir.

Suatu perkara yang terjadi pada zaman ini dan tidak wujud pada zaman bahasa Melayu klasik ialah pencetakan dan  penerbitan majalah dan akhbar Melayu. Contohnya Soerat Kabar Bahasa Malaijoe yang diterbitkan di Surabaya, Jawa Timur pada tahun 1856. Akhbar Bintang Timor di Padang Sumatera Barat (1865), Jawi Peranakan di Singapura (1876). Selain dari itu terdapat juga akhbar Melayu Alamat Langkapuri di Colombo, Sri Lanka (1869). Malah di Melaka sendiri pada tahun 1821 terbitnya majalah Melayu Bustan Arifin, begitu juga majalah Bintang Oetara yang diterbitkan di Rotterdam, Belanda pada tahun 1856 M
( Ahmat Adam. 1992)

Peristiwa-peristiwa yang berlaku pada abad ke-19 ini seperti satu pertembungan budaya Melayu dengan Barat. Perkembangan teknologi cetak dan teknologi-teknologi lain serta perkembangan perhubungan yang lebih mudah menjadikan bahasa Melayu terdedah kepada pengaruh barat. Dengan itu sedikit demi sedikit bahasa Melayu diresapi oleh unsur-unsur Barat sehingga berlaku beberapa perubahan pada bahasa Melayu. Hal ini ditambah lagi dengan penguasaan Inggeris serta penjajah lain terhadap penerbitan kebanyakan akhbar dan majalah Melayu.

Namun begitu satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah penjajah turut membantu perkembangan penggunaan bahasa Melayu secara tidak lansung di Asia Tenggara. Sebagai contoh, pada tahun 1821 Sekolah Melayu telah ditubuhkan di Pulau Pinang dan kemudiannya diikuti oleh Negeri-negeri Selat yang lain.

Hal yang sama turut berlaku di Indonesia. Kerajaan Belanda telah mengiktiraf bahasa Melayu Riau sebagai bahasa Melayu tinggi dan menjadi alat perhubungan utama peribumi Indonesia. Bahasa Melayu Riau menjadi bahasa utama di sekolah-sekolah bukan sahaja di Riau tetapi juga di Sumatera Timur dan Pulau Jawa.  Dengan keadaan sedemikian, abad ke-19 ini meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di seluruh pelosok nusantara.


4.1 Ciri-ciri Bahasa Melayu Zaman Peralihan dan Perkembangannya (abad 19- 20)  
Seperti bahasa Melayu zaman klasik, bahasa Melayu zaman peralihan juga mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang membolehkannya dipisahkan dari bahasa zaman klasik. Ciri-ciri ini amat penting untuk diketahui kerana ciri-ciri inilah yang akan menjadi garis pengukur dalam menentukan kedudukan bahasa itu sama ada berada dalam zaman kuno, zaman klasik, zaman peralihan atau zaman moden.

Ciri-ciri bahasa Melayu zaman peralihan atau zaman pramoden yang dapat dikesan untuk kertas kerja ini ialah :

a) Gaya bahasa zaman peralihan masih lagi mengikut gaya bahasa klasik, seperti  penggunan  sahaya, arakian, kemudian daripada itu, adapun, maka, sekalian dan sebagainya. Walau bagaimanapun penggunaan  perkataan-perkataan tersebut tidaklah begitu keterlaluan seperti zaman sebelumnya.

b) Fonem-fonem Melayu ditambah dengan fonem-fonem baru daripada bahasa Arab masih kekal. Di sini pada awalnya unsur-unsur Inggeris belum terlihat dengan ketara. Walau bagaimanapun, apabila penjajah mula menguasai urusan penerbitan beberapa akhbar dan majalah barulah unsur-unsur Inggeris mula terlihat.

c) Kata-kata istilah baru mula muncul terutama dalam pentadbiran moden seperti yang diamalkan di Johor pada zaman pemerintahan keluarga Temenggung Johor. Pada masa itulah beberapa banyak istilah Inggeris, Portugis dan Belanda mula diguna pakai. Antaranya istilah majestret, lawyer, kompeni, Gabenor, kemeja, office-boy, beranda dan berbagai lagi. Pada masa yang sama juga beberapa istilah Inggeris diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu untuk urusan pentadbiran seperti jawatankuasa, setiausaha, pejabat, pesuruhjaya dan jabatan.     

d) Perkembangan bahasa dalam zaman pramoden ini juga memperlihatkan penerbitan akhbar dan majalah yang datang dari pengaruh Barat. Hal ini telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh intelektual Melayu. Mereka mula menerbitkan bahan-bahan cetak untuk rakyat tempatan. Ini membantu dalam penguasaan bahasa bukan sahaja oleh penduduk tempatan tetapi juga oleh penjajah.

e) Sesuatu yang lebih ketara pada zaman ini ialah dalam bidang percetakan iaitu  bermulanya era penerbitan buku-buku Melayu. Buku-buku ini dicetak sama ada di Malaya, Batavia atau di Asia Barat seperti di Makkah , Istanbul atau Mesir.

f) Dalam bidang penulisan dan penghasilan karya pula terlihat bermulanya penulisan gaya laporan mula berkembang. Gaya penulisan ini juga lebih dikenali dengan gaya kewartawan seperti yang dilakukan oleh Abdul Rahim Kajai ( Talib Samat :1998 )

g) Dunia persuratkhabaran dan majalah yang berkembang pesat telah membuka ruang kepada bidang pekerjaan sebagai wartawan akhbar dan majalah. Hal ini menyemarakkan lagi proses pengembangan bahasa Melayu di peringkat yang lebih luas. Bukan sahaja istilah-istilah bahasa Melayu semakin bertambah, malah ianya semakin meninggalkan ciri-ciri bahasa Melayu zaman klasik. Struktur ayatnya telah berubah, tidak lagi meleret-leret ketika menjelaskan sesuatu maksud atau perkara.

h) Sesuatu yang menarik dalam memperkatakan ciri-ciri bahasa Melayu pramoden ini ialah bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah yang didirikan oleh penjajah. Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu telah mendapat pengiktirfan sebagai bahasa komunikasi antarabangsa ( pelbagai kaum ), tidak seperti zaman sebelumnya yang meletakakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi tidak formal sahaja.

i) Perkembangan bahasa Melayu turut membawa kepada penghasilan buku-buku teks bahasa Melayu di sekolah-sekolah . Perkara ini dilakukan oleh Syed Mahmud bin Syed Abdul Kadir ( A.M Iskandar Hj Ahmad : 1980 )

Zaman pramoden atau zaman peralihan ini juga ditandai dengan lahirnya aktiviti penghasilan perkamusan di alam Melayu.  Beberapa buah kamus besar telah disusun seperti Kamus Jawi-melayu-Inggeris yang disusun oleh R.J Wilkinson. Kamus ini berbidang besar dan tebal serta mempunyai maklumat yang banyak tentang bahasa Melayu. Kamus ini diterbitkan pada tahun 1903. Selain dari itu terdapat juga kamus Melayu-Belanda dan Belanda-Melayu yang disusun oleh Van Ronkel pada tahun 1918. Kamus lain yang terhasil pada awal abad ke-20 ialah Buku Katan ( Kamus Melayu) oleh Muhamad said Sulaiman (1936), Kamus Melayu oleh Haji Syamsudin Muhamad Yunus yang bertulisan Jawi (1948).

Kejayaan menghasilkan kamus ini memberikan impak yang besar terhadap pekembangan bahasa Melayu. Dengan terhasilnya kamus-kamus tersebut maka secara lansungnya menambahkan lagi perbendaharaan kata bagi bahasa Melayu. Oleh itu dalam zaman peralihan ini, penghasilan kamus menjadi satu elemen penting ketika memperkatakan perkembangan bahasa Melayu zaman peralihan atau zaman pramoden.


5.0  Bahasa Melayu Zaman Moden
Setelah meneliti era dua zaman perkembangan bahasa Melayu; zaman klasik dan zaman peralihan, eloklah pula ditinjau sepintas lalu bahasa Melayu zaman moden bagi menjelaskan pemahaman terhadap sejarah perkembangan  bahasa Melayu. Tinjauan sepintas lalu ini akan menjelaskan akan peri pentingnya zaman peralihan ( pertengahan abad ke-19 hingga awal abad ke-20 ) kepada sejarah perkembangan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu berubah sedikit demi sedikit untuk menuju ke bentuk baru iaitu bahasa Melayu Moden apabila menjelangnya abad ke-20. Prosesnya berjalan mengikut urutan waktu tetapi lancar. Ianya bermula dengan pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan pemerintahan di negeri-negeri Melayu. Keadaan menjadi semakin kukuh apabila munculnya teknologi percetakan yang dibawa oleh penjajah ke Tanah Melayu. Penerbitan akhbar, majalah dan buku-buku telah menyemarakkan lagi perkembangan bahasa Melayu.

Pada pertengahan abad ke-20 bahasa Melayu sudah menjadi bahasa terpenting di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara. Hal yang sama berlaku di Indonesia yang dijajah oleh Belanda.

Di Indonesia,  pada tahun 1928 tercatatnya peristiwa penting dalam kalendar sejarah bahasa Melayu apabila diadakan Sumpah Pemuda yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa persatuan bagi negara dan bangsa Indonesia ( Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu : 1994).
Peristiwa ini membawa kepada terangkatnya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara Indonesia yang kemudiannya dikenali dengan Bahasa Indonesia pada 1945. Hal yang sama terjadi di Tanah Melayu pada tahun 1967. Manakala di Brunei Darulsalam bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi pada tahun 1959 dan di Singapura pada tahun 1965 ( Amat Jauhari Moain : 1994 ).

Bahasa Melayu Moden terus berkembang dan menjadi utuh apabila penerbitan majalah, akhbar, buku, jurnal menjadikan bahasa Melayu sebagai wadah untuk menyampaikan maklumat dan ilmu pengetahuan. Tujuannya bukan sekadar meningkatkan kecerdasan berfikir dan perluasan ilmu tetapi juga untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Anatara akhbar dan majalah yang memainkan peranan berkenaan ialah al-Imam (1906), Panji Poestaka dan Poesdjangga Baroe (1933), Warta Malaya, Lembaga Melayu dan lain-lain lagi diterbitkan di sekitar separuh awal abad kedua puluh.

Bagi mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Melayu serta memastikan perkembangannya tidak terbantut maka berbagai usaha telah dijalankan. Antaranya penubuhan Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor ( Pa. Ba. Mim. Pa. Ba.) yang kemudiannya diikuti dengan tertubuhnya Pejabat Karang Mengarang SITC, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institusi-institusi Pengajian Tinggi, Jawatakuasa Tetap Bahasa Melayu, serta tertubuhnya Kementerian Pelajaran.( Abdul Samad Ahmad : 1966).

Melihat kepada perkembangan istilah dan perbendaharaan kata, pada zaman bahasa Melayu Moden ini, munculnya istilah-istilah baru sama ada pinjaman dari bahasa asing mahupun pinjaman dari bahasa serumpun. Istilah-istilah asing yang tiada dalam bahasa Melayu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Ini menjadikan bahasa Melayu kaya dengan istilah-istilahnya walaupun ada di antaranya dipinjam dari istilah Inggeris, Belanda, Portugis, Arab, Sanskrit, Jawa, Indonesia, Brunei dan sebagainya.

Penggunaan bahasa Melayu yang semakin meningkat mendorong lahirnya kerjasama kebahasaan antara Tanah Melayu dan Indonesia pada tahun 1959. Kerjasama ini dikukuhkan lagi apabila pada tahun 1972 majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM) ditubuhkan. Pada tahun 1985 kedudukannya semakin meningkat apabila MBIM menjadi MABBIM atau Majlis Bahasa Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia  ditubuhkan.

Peningkatan mutu bahasa Melayu semakin jelas terserlah apabila bahasa ini digunakan dalam pelbagai laras dan wacana dalam pengajaran pelbagai ilmu dari peringkat rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi.

6.0   Kesimpulan       
Kedudukan bahasa Melayu menjadi sedemikian tinggi kerana pengaruh bahasa-bahasa dari luar terutama dari barat seperti Inggeris dan Belanda, yang mula meresap ke dalam bahasa Melayu pada abad ke-19.  Pengaruh-pengaruh ini membuahkan hasil yang amat baik kepada bahasa Melayu dalam alaf baru ini ( menjelang abad 21 ) Bermula dari pertengahan abad ke-19, pengaruh-pengaruh luar telah mempengaruhi kosa kata dan istilah-istilah Melayu yang akhirnya menjadikannya bahasa moden.
           
Tidak dapat dinafikan bahawa pertengahan abad ke-19 membawa ke abad 20 merupakan era yang amat penting dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Zaman ini yang lebih dikenali dengan Zaman Pramoden atau Peralihan merupakan titik-tolak yang menjadikan bahasa Melayu hari ini sebagai bahasa lingua franca dan bahasa ilmu pada abad ini.

                         
Rujukan

A.M Iskandar Hj Ahmad.  1980.  Persuratkhabaran Melayu 1876 - 1968.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Hassan.  1997.  Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Dan Esei-Esei Lain. Shah Alam : Penerbitan Fajaar Bakti Sdn. Bhd.

Ahmat Adam.  1992 .  Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad Kesembilan Belas.  Bangi :  Penerbitan Universiti kebangsaan Malaysia.

Amat Juhari Moain. 1994.  Sejarah Bahasa Melayu dalam Linguistik Melayu oleh Zaharani Ahmad.  Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

________________1996.  Perancang Bahasa: Sejarah Aksara Jawi.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. 1993.  Susur Galur Bahasa Melayu Dalam Gelombang Tamadun .  Dlm Ismail Hussien, A.Aziz Deraman & Abd. Rahman Al-Ahmadi (pngr.)  Tamadun Melayu Jilid Dua (536-553). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

_______________1985. Susur Galur Bahasa Melayu.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Jilid 1 . 1994.  Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan . 1986. Kuala Lumpur  :  Dewan Bahasa dan Pustaka.

Maganatar Simanjuntak. 1995.  Pengutamaan Bahasa Melayu Dalam Semua Bidang, Termasuk Sains & Teknologi, Menjamin Potensinya Sebagai bahasa Ilmu Dan Bahasa Supranasional, Di Samping Menjamin Pembangunan Negara Yang Maksimum. Dlm. Kertas Kerja Kongres Melayu Sedunia. Kuala Lumpur. Ogos 1995

S. Othman Kelantan (pngr.) 1992.  100 Tahun Pergerakan Bahasa dan Sastera Melayu 1888 - 1988.  Kuala Lumpur  :  Dewan Bahasa dan Pustaka.Hal. 7

Sejarah Bahasa Melayu
Asal Usul Bahasa Melayu

Asal usul perkataan Melayu masih belum dapat disahkan oleh sejarawan.
Bagaimanapun terdapat beberapa bukti sejarah yang cuba mengaitkan asal-usul bahasa Melayu, seperti mana berikut:
1.  Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645    Masihi.
Dikatakan orang Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja China.
2. Ada yang mempercayai kerajaan Mo-lo-yeu berpusat di daerah Jambi, Sumatera , daripada sebatang sungai yang deras alirannya, iitu Sungai Melayu.
3. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi.
4. Dalam bahasa Jawa Kuno, perkataan ``Mlayu'' bermaksud berlari atau mengembara. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austonesia) yang bergerak dari Yunan.
  
Asal Usul Bangsa Melayu
Dipercayai berasal daripada golongan Austronesia di Yunan.
Kumpulan pertama dikenali sebagai Melayu Proto.
Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Batu Baru (2500 Sebelum Masihi)
Keturunannya Orang Asli di Semenanjung Malaysia, Dayak di Sarawak dan Batak di Sumatera.
Kumpulan kedua dikenali sebagai Melayu Deutro
Berpindah ke Asia Tenggara pada Zaman Logam kira-kira 1500 Sebelum Massihi.
Keturunannya orang Melayu di Malaysia
Dikatakan lebih bijak dan dan mahir daripada Melayu Proto.
Bijak dalam bidang astronomi, pelayaran dan bercucuk tanam.
Bilangan lebih banyak daripada Melayu Proto.
Menduduki kawasan pantai dan lembah di Asia Tenggara.
Orang ini, kumpulan pertama dan kedua, dikenali sebagai Austronesia.
Bahasa-bahasa yang terdapat di Nusantara sekarang berpunca daripada bahasa Austronesia ini.

Nik Safiah Karim menerangkan bahawa bahasa Austronesia ialah satu rumpun bahasa dalam filum bahasa Austris bersama-sama dengan rumpun bahasa Austroasia dan Tibet-China (rujuk carta alir di atas).
Bahasa Melayu termasuk dalam bahasa-bahasa Golongan Sumatera bersama-sama dengan bahasa-bahasa Acheh, Batak, Minangkabau, Nias, Lampung dan Orang Laut.

Perkembangan Bahasa Melayu
Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama iaitu:
  • Bahasa Melayu Kuno,
  • Bahasa Melayu Klasik dan
  • Bahasa Melayu Moden.

Bahasa Melayu Kuno
Merupakan keluarga bahasa Nusantara
Kegemilangannya dari abad ke-7 hingga abad ke-13 pada zaman kerajaan Sriwijaya, sebagai lingua franca dan bahasa pentadbiran.
Penuturnya di Semenanjung, Kepulauan Riau dan Sumatera.
Ia menjadi lingua franca dan sebagai bahasa pentadbiran kerana:
  • Bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar.
  • Tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat
  • Mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding dengan bahasa Jawa.
Banyak dipengaruhi oleh sistem bahasa Sanskrit. Bahasa Sanskrit kemudian dikenal pasti menyumbang kepada pengkayaan kosa  kata dan ciri-ciri keilmuaan (kesarjanaan) Bahasa Melayu.
Bahasa Melayu mudah dipengaruhi Sanskrit kerana:
  • Pengaruh agama Hindu
  • Bahasa Sanskrit terletak dalam kelas bangsawan, dan dikatakan mempunyai hierarki yang tinggi.
  • Sifat bahasa Melayu yang mudah dilentur mengikut keadaan dan keperluan.
Bahasa Melayu kuno pada batu-batu bersurat abad ke-7 yang ditulis dengan huruf Pallawa:
  • Batu bersurat di Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  • Batu bersurat di Talang Ruwo, dekat Palembang (684 M)
  • Batu bersurat di Kota Kampur, Pulau Bangka (686 M)
  • Batu bersurat di Karang Brahi, Meringin, daerah Hulu Jambi (686 M)
Bahasa Melayu kuno pada batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
Ciri-ciri bahasa Melayu kuno:
  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit
  • Susunan ayat bersifat Melayu
  • Bunyi b ialah w dalam Melayu kuno (Contoh: bulan - wulan)
  • bunyi e pepet tidak wujud (Contoh dengan - dngan atau dangan)
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Melayu kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam bahasa Melayu kuno (Contoh: diperbuat - niparwuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua-samuha, saya: sahaya)

Peralihan Bahasa Melayu Kuno Ke Bahasa Melayu Klasik
Peralihan ini dikaitkan dengan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara pada abad ke-13.
Selepas itu, bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat dan tulisan.
Terdapat tiga batu bersurat yang penting:
a. batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356)
  • ditulis dalam huruf India
  • mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit.
  • bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
b. Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380)
  • masih memakai abjad India
  • buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat
c. batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (1303-1387)
  • ditulis dalam tulisan Jawi
  • membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
Ketiga-tiga batu bersurat ini merupakan bukti catatan terakhir perkembangan bahasa Melayu kerana selepas abad ke-14, muncul kesusasteraan Melayu dalam bentuk tulisan.

Bahasa Melayu Klasik
Kegemilangannya boleh dibahagikan kepada tiga zaman penting:
  • Zaman kerajaan Melaka
  • Zaman kerajaab Acheh
  • Zaman kerajaan Johor-Riau
Antara tokoh-tokoh penulis yang penting ialah Hamzah Fansuri, Syamsuddin al-Sumaterani, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf al-Singkel.
Ciri-ciri bahasa klasik:
  • ayat: panjang,  berulang, berbelit-belit.
  • banyak ayat pasif
  • menggunakan bahasa istana
  • kosa kata klasik: ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
  • banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat): sebermula, alkisah, hatta, adapun.
  • ayat songsang
  • banyak menggunakan partikel ``pun'' dan `'lah''

Bahasa Melayu Moden
Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.
Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.
Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.
Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.